KUANTAN: Kerajaan Pahang berterusan menghulurkan bantuan dan berharap sumbangan yang tidak seberapa itu dapat membantu meringankan beban yang dihadapi penduduk yang berdepan penyakit kronik.
Lantas, hari ini, empat individu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lembing menerima bantuan yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai lembing, Dato’ Md Sohaimi Mohamed Shah.
Menurut Md Sohaimi, bantuan yang disumbangkan kerajaan negeri melalui keprihatinan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail itu diharap menceriakan semua penerimanya.
“Sebenarnya, bantuan kepada pesakit kronik bergantung kepada permohonan dan hari ini empat pesakit menerimanya.
“Dengan bantuan ini, saya berharap sedikit sebanyak membantu meringankan beban yang dihadapi pesakit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Pada masa sama, Md Sohaimi berterima kasih di atas keprihatinan Menteri Besar yang meluluskan bantuan kepada pesakit kronik.