Kerajaan beri peluang koperasi tambah pendapatan di FELDA

Kerajaan beri peluang koperasi tambah pendapatan di FELDA

TEMERLOH: Kerajaan Pahang memberi peluang baharu kepada koperasi untuk memiliki tanah di kawasan FELDA dengan menjalankan pelbagai aktiviti ekonomi sekaligus membantu meningkatkan pegangan aset dan perolehan entiti itu sendiri. 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, Dato’ Nazri Ngah berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan  (MMK) Negeri bersetuju dan secara dasarnya meluluskan pemberian hak milik kepada koperasi di kawasan FELDA yang sebelum ini tidak mempunyai sebarang status. 

“Dengan pemilikan tanah FELDA ini, mereka dapat terus beroperasi tanpa sebarang kerisauan kehilangan hak milik pada masa akan datang. 

“Kerajaan Pahang juga dapat memastikan pertambahan pendapatan buat warga peneroka dengan menjadikan koperasi sebagai platform perniagaan di FELDA,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program pemutihan dan pemilikan tanah koperasi di kawasan FELDA di Dewan Dato’ Zaharuddin Abu Kassim, Kampung Ketam, di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia cawangan Pahang, Radiatul Fitri Dollah; Pegawai Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pahang, Ghazali Abu Bakar dan Principal Jurukur Kristal, Dato’ Sri Ishak Jaafar.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga akan membuat pemutihan ke atas beberapa tanah yang menjalankan perniagaan di tanah milik kerajaan negeri di kawasan FELDA. 

“Pengurusan koperasi juga perlu menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik dan   pemilikan tanah di kawasan FELDA akan memberi kesan ekonomi berganda dan memakmurkan rakyat negeri ini bagi tempoh jangka masa panjang,” katanya. – MUHAMMAD NAJMIE