KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan mencadangkan aktiviti solat berjemaah di masjid atau surau dan rumah ibadat bukan Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan sosial.
Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia bagaimanapun tertakluk kepada keputusan Majlis Agama di negeri masing-masing.
Memetik laporan portal Harian Metro hari ini, beliau juga mengumumkan Malaysia akan memasuki fasa peralihan ke endemik COVID-19, mulai 1 April ini.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas kerajaan mengambil kira pelbagai faktor termasuk melakukan penilaian risiko dan mendapatkan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM) serta meneliti syor Menteri Kuartet.
“Fasa peralihan ke endemik itu adalah langkah strategi keluar untuk membolehkan negara kembali semula ke kehidupan hampir normal sebelum penularan COVID-19.
“Fasa ini adalah sementara sebelum kita beralih ke fasa endemik yang mana ia tertakluk kepada pengumuman yang hanya boleh dibuat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya dalam sidang media khas di Parlimen, hari ini.
Menurutnya lagi, bermula 1 April ini, pemakaian pelitup muka di tempat awam masih perlu dipatuhi setiap individu.
“Had waktu operasi bagi premis perniagaan juga dimansuhkan. Premis boleh melaksanakan waktu operasi masing-masing mengikut syarat lesen operasi premis dan ini bermakna rakyat boleh makan di kedai makan atau restoran selepas jam 12 tengah malam.
“Pendaftaran kemasukan menggunakan MySejahtera masih diwajibkan tetapi dikecualikan untuk kawasan terbuka yang tidak sesak dan tiada perhimpunan ramai. MySJ Trace diwajibkan untuk tempat tertutup dipenuhi pengunjung,” katanya. – FIKRAH PAHANG