Oleh Fath Ahnaf
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
BERA: Kerajaan kini sedang membuat kajian terperinci mengenai cadangan untuk memberikan pencen pro rata kepada bekas tentera yang tamat perkhidmatan sebelum tempoh 21 tahun.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sebelum ini anggota tentera yang bersara sebelum tempoh 21 tahun tidak akan mendapat skim pencen dan mereka akan menjadi veteran tanpa pendapatan.
“Kita sedang mengkaji,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan Eksesais Para Predator Siri 1 Briged 10 Para Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kampung Batu Bor, di sini, hari ini.
Ismail berkata, walaupun Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) memberikan latihan keusahawanan kepada anggota tentera sebelum bersara, tidak semua mereka berjaya dalam perniagaan.
“Cadangan bergantung kepada hasil kajian. Selepas kajian itu siap nanti menteri pertahanan akan membawa perkara itu dalam kabinet untuk kelulusan,” katanya.
Sementara itu, Ismail berkata, latihan berkenaan bertujuan untuk mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan dan kompetensi pasukan dalam atur gerak melaksanakan operasi di barisan belakang musuh.
“Terdapat tiga pendekatan iaitu bagi memberi pendedahan keadaan ancaman sebenar melalui latihan, memberikan gambaran kesiapsiagaan dan keupayaan ATM serta memberikan kesedaran kepada umum mengenai peranan ATM dalam aspek keselamatan,” katanya.
Beliau berkata, latihan itu dianggap berskala besar ini dan akan berlangsung 14 hari membabitkan 1,894 anggota dan 151 aset logistik.