Kerajaan nak perkenal Dana Belia

Kerajaan nak perkenal Dana Belia

ROMPIN: Kerajaan Pahang akan memperkenalkan Dana Belia bagi membantu golongan belia di negeri ini memulakan perniagaan, tahun depan. 

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata cetusan idea bagi memperkenalkan dana khas itu adalah selepas mendengar keluhan golongan muda yang berharap kerajaan negeri dapat membantu mereka. 

“Ramai belia yang masih memerlukan bantuan, sokongan kerajaan untuk permulaan sesuatu perniagaan sebagai contoh. 

“Oleh itu, saya menubuhkan satu dana dengan peruntukan tertentu dan kita akan beri kepada mereka yang memerlukan (kumpulan sasar). 

“Ini adalah keluhan sebahagian anak muda yang minta kerajaan bantu mereka,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan infrastruktur Agrotourism Paya Laka, dekat Kampung Sepayang, Rompin, hari ini. 

Turut hadir calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain. 

Mengulas lanjut mengenai dana itu, Wan Rosdy memberitahu, perbincangan berkaitan jumlah peruntukan bagi dana terbabit akan dilakukan terlebih dahulu dengan semua pihak berkepentingan. 

“Sudah tentu kena buat perbincangan dulu dengan pegawai kewangan negeri, setiausaha kerajaan negeri, rakan Exco sebab ini duit kerajaan,” katanya.

Terdahulu, dalam majlis sama, Wan Rosdy mengumumkan seramai 262 peserta Rancangan Tanah Kelompok Paya Laka menerima bantuan khas RM500 tunai seorang. 

Katanya, bantuan itu disalurkan Pertubuhan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) melalui anak syarikatnya PKPP Agro Sdn Bhd.-KHALEEF FITRI