Kerajaan negeri melalui Yayasan Pahang agih tablet kepada masjid seluruh Pahang

Kerajaan negeri melalui Yayasan Pahang agih tablet kepada masjid seluruh Pahang

KUANTAN: Sebanyak 630 masjid seluruh Pahang akan dibekalkan tablet disertai aplikasi MyKariah bagi memudahkan urusan ahli kariah mendapatkan maklumat dan menerima bantuan yang diperlukan.  

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata untuk permulaan, pengagihan peranti itu membabitkan daerah ini sebelum diteruskan ke daerah-daerah lain.

“Hari ini juga seramai 12 kadi daerah menerima kurniaan tablet dan aplikasi MyKariah ini daripada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Ini satu lagi pendekatan Kerajaan Pahang, melalui Yayasan Pahang (YP) bersama Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) dan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) bagi memudahkan urusan ahli kariah seluruh negeri ini mendapatkan maklumat bantuan seterusnya mendapat bantuan jika menepati kriteria,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas selesai majlis penyampaian berkenaan di YP di sini, hari ini.

Keberangkatan baginda Tuanku bersama Raja Permaisuri Agong dan Pemangku Raja Pahang ke majlis itu, diiringi YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan Exco kerajaan negeri. 

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, bagi menjayakan program berkenaan, kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM700,000.

“Program seumpama ini julung kali diperkenalkan di Malaysia dan semoga usaha kerajaan negeri ini dengan dipayungi KDYMM Tuanku, mampu memberi kemudahan kepada rakyat untuk memperoleh bantuan,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN