TEMERLOH: Kerajaan Pahang bersetuju melaksanakan program pemutihan membabitkan semua sangkar ikan di Sungai Pahang dan Sungai Semantan di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata langkah itu bagi memastikan tiada lagi sangkar ikan haram dan tidak berdaftar beroperasi di kedua-dua sungai terbabit.
“Program ini dilaksanakan untuk kerajaan negeri mengenal pasti pemilik sangkar-sangkar ikan sekali gus dapat mengetahui jumlah sangkar sebenar di Sungai Pahang dan Semantan.
“Proses pemutihan ini juga akan memudahkan kerajaan negeri menghulurkan bantuan kepada setiap pemilik sangkar ikan sekiranya berlakunya musibah contohnya bencana banjir,” katanya di laman Facebook rasminya, semalam.
Mohd Sharkar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lancang dan Ketua UMNO Bahagian Temerloh berkata, kerajaan negeri mempunyai perancangan jangka panjang untuk menambah jumlah sangkar di sungai terbabit.
“Proses ini akan jadi lebih mudah seandainya pemilik sangkar dikenal pasti. Menerusi program pemutihan ini juga, kerajaan negeri akan mempermudahkan proses dan urusan bagi mendapatkan lesen pendudukan sementara (TOL) kepada pemilik untuk mendaftarkan setiap sangkar ikan yang dimiliki mereka.
“Apa berlaku sebelum ini, pemilik TOL hanya seorang tetapi berkongsi TOL yang sama mungkin kerana prosesnya waktu itu memakan masa agak lama, tapi menerusi program pemutihan kali ini, ia akan dipermudahkan dan dipercepatkan,” jelasnya.
Tambahnya, proses pemutihan itu perlu dilaksanakan kerana kerajaan negeri mahu menjadikan Sungai Pahang dan Sungai Semantan sebagai hab ikan patin di negeri ini.
“Ia akan dilaksanakan secara lebih sistematik dan kajian akan dilaksanakan selepas ini antara pihak persatuan ikan patin dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta pihak dari institusi pengajian tinggi (IPT) untuk kita menjadikan perusahaan ikan sangkar ini bidang yang menguntungkan.
“Jadi, penting untuk kerajaan negeri melaksanakan program pemutihan terbabit supaya kita mempunyai inventori berhubung sangkar-sangkar ikan di Sungai Pahang dan Sungai Semantan,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN