KUANTAN: Kerajaan negeri meminta Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) membuat siasatan menyeluruh dan membawa tenaga pengajar serta pelajar Pusat Tahfiz Darul Fikri Al-Mahmudiah di Jalan Cheneras, Lipis, ke klinik kesihatan berhampiran untuk membuat pemeriksaan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata ia termasuk pemeriksaan berkaitan trauma yang mungkin dialami mereka.
“Kita simpati dan bimbang juga seandainya ada perkara tidak diingini lebih serius berlaku… kerana itu saya meminta pihak JAIP pergi bersama dengan pendidik dan pelajar ini (melakukan pemeriksaan) supaya dapat memulihkan semula semangat mereka,” katanya kepada Fikrah Pahang, malam tadi.
Dalam kejadian jam 5.10 petang kelmarin, suspek berusia 30-an bersama seorang pelajar tahfiz pergi ke pusat tahfiz itu yang mana tiga orang menyerang mangsa berusia 30-an yang ditugaskan menjaga pusat terbabit.
Syed Ibrahim berkata, kerajaan negeri amat bersimpati kepada pihak sekolah, guru dan pelajar terbabit, namun bersyukur kerana kejadian itu ditangani segera oleh pihak polis.
“Apa alasan sekalipun, tak patut kita pukul orang kerana ini luar daripada sifat kemanusiaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua madrasah dan sekolah tahfiz di Pahang mengikuti prosedur operasi standard (SOP) berkaitan keselamatan bagi memudahkan pihak berkuasa bertindak lebih cepat sekiranya kejadian serupa berulang.
“Sebab itu kita minta supaya semua pusat pendidikan termasuk madrasah dan tahfiz supaya mematuhi SOP dan mendaftarkan (pusat pendidikan) dengan kerajaan negeri supaya soal keselamatan dapat dijaga dengan baik, contohnya mungkin boleh dipasang CCTV (kamera litar tertutup) di semua pusat pendidikan ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor, berkata polis menahan dua pekerja bengkel kimpalan semalam bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.
“Kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan hasil semakan mendapati mereka memiliki rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
“Tiga lagi suspek sudah dikenal pasti dan tangkapan akan dilakukan secepat mungkin. Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Kesiksaan kerana pencerobohan kawasan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. Semua suspek berusia 30-an,” katanya semalam. – HELMY ABD RAHMAN