Kerajaan negeri hargai 108 pendidik politeknik dan kolej komuniti di Pahang

Kerajaan negeri hargai 108 pendidik politeknik dan kolej komuniti di Pahang

PEKAN: Seramai 108 pegawai pendidikan dari politeknik dan kolej komuniti seluruh Pahang diraikan dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Politeknik dan Kolej Komuniti Zon Pahang 2021 di sini, hari ini.

Majlis berkenaan dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad yang mewakili YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau dalam ucapannya berkata, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang adalah penghargaan kerajaan negeri dan pengiktirafan kepada pegawai perkhidmatan awam yang berusaha secara berterusan melaksanakan kerja dengan cekap dan produktif, beriltizam tinggi serta mensyukuri nikmat seperti yang terkandung dalam Teras Perkhidmatan Awam.

“Saya mengucapkan syabas dan setinggi-tinggi tahniah kepada pegawai politeknik dan kolej komuniti yang berjaya menunjukkan prestasi kerja mencapai tahap terbaik dan terpilih sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada kali ini.

“Pencapaian cemerlang ini menjadi pemangkin kepada usaha-usaha kerajaan dan jabatan untuk mentransformasikan sistem pendidikan tinggi negara,” katanya.

Beliau turut mengingatkan, pegawai cemerlang seharusnya mempunyai tahap kecerdasan dan kecekapan tinggi, berkebolehan merancang, menganjur, dan menetapkan keutamaan dalam menyelesaikan masalah.

“Manakala integriti dinilai melalui sikap jujur terhadap diri sendiri dan rakan-rakan berlandaskan etika kerja.

“Keberanian dan kesediaan menerima cabaran, mengambil risiko dan kesanggupan menerima tugasan besar juga adalah ciri cemerlangnya seorang pegawai.

“Setiap individu pegawai mestilah memiliki kesabaran, bersemangat kental bagi memastikan visi dan misi jabatan dapat dicapai,” katanya.

Syed Ibrahim turut menaruh kepercayaan tinggi terhadap warga politeknik dan kolej komuniti di Pahang untuk terus berusaha memberikan perkhidmatan berimpak tinggi dengan cemerlang.

“Saya juga percaya anda mampu mengekalkan integriti dan melaksanakan penambah baikan secara berterusan bagi menjayakan agenda tranformasi perkhidmatan awam dan transformasi pendidikan tinggi negara dalam melahirkan modal insan berkualiti sebagai pewaris kesejahteraan dan kemajuan negara menjelang 2050,” katanya. – FIKRAH PAHANG