Kerajaan negeri komited kembangkan syiar Islam di Pahang

Kerajaan negeri komited kembangkan syiar Islam di Pahang

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

Gambar Mustaffa Kamal

KUANTAN: Kerajaan Pahang memperuntukkan sebanyak RM119.64 juta bagi perbelanjaan mengurus dan RM9.62 juta untuk perbelanjaan pembangunan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) tahun ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata peruntukan untuk agensi itu turut disalurkan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebanyak RM31.33 juta.

“Peruntukan daripada JAKIM itu bagi bayaran elaun 2,628 orang guru KAFA (Kelas al-Quran dan Fardu Ain), pegawai kariah masjid (3,795 orang) dan guru takmir (401 orang) sehingga September.

“Pihak JAKIM juga menyalurkan peruntukan pembangunan sebanyak RM594,000 untuk Fasa 1 bagi kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan 11 Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) selain peruntukan RM4.5 juta diluluskan buat JAIP oleh ECERDC (Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur) bagi projek bina baru asrama perempuan Sekolah Menengah Agama (SMA) Maran,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Sidang Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri menerusi JAIP juga melaksanakan beberapa inisiatif Menteri Besar Pahang membabitkan keseluruhan peruntukan sebanyak RM5.04 juta sepanjang tahun ini.

“Antaranya bagi pembelian 16 kenderaan untuk 13 SMAN Pahang, Pejabat Agama Islam Daerah (dua) dan sebuah untuk Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Kuantan membabitkan kos sebanyak RM1.7 juta.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri, juga melalui JAIP, meluluskan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) COVID-19 kepada golongan terjejas akibat pandemik itu.

“Seramai 1,382 penerima daripada kalangan imam, bilal dan siak rawatib; guru KAFA dan guru tahfiz; madrasah dan pondok berdaftar dari seluruh Pahang dengan jumlah peruntukan keseluruhan RM276,400.

“Bayaran Khas ‘one-off’ sebanyak RM100 kepada pengusaha kantin dan pengusaha dewan makan asrama SMAN dengan jumlah penerima seramai 233 orang membabitkan peruntukan RM23,300.

“Juga Bayaran Khas ‘one-off’ RM500 kepada Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) dan Penyelaras Pembangunan Insaniah Masyarakat Orang Asli (PePIMA ) seramai 127 orang penerima membabitkan jumlah peruntukan sebanyak RM63,500,” katanya.

BPP 2021 pula katanya, disalurkan kepada 89 pondok dan maahad tahfiz berdaftar di bawah Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) membabitkan peruntukan sebanyak RM1 juta.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri melalui JAIP melaksanakan aktiviti dakwah di setiap daerah Pejabat Agama Islam Negeri Pahang secara berkala pada setiap tahun.

“Sekurang-kurangnya tiga perkampungan Orang Asli di setiap 14 daerah Pejabat Agama Islam dipilih untuk aktiviti dakwah setiap tahun membabitkan program seperti kelas fardu ain, bimbingan agama dan dakwah interpersonal dilaksanakan dua kali seminggu oleh 59 orang Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA) Negeri Pahang secara berterusan di perkampungan Asli seliaan PMOA.

“Kerajaan negeri juga mengambil maklum pelbagai cadangan dikemukakan dan sentiasa membantu serta menyokong segala gerak kerja membabitkan pembangunan sosial Orang Asli di Pahang, sama ada membabitkan agensi kerajaan atau NGO (badan bukan kerajaan),” katanya.

Ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut, Lee Chin Chen mengenai kos pengurusan jenazah COVID-19, Syed Ibrahim berkata, kerajaan negeri mewujudkan Tabung Bantuan Khas Pengurusan Kematian COVID-19 yang dimulakan pada 12 Ogos lalu.

“Melalui inisiatif ini, pengendali jenazah orang Islam khususnya, boleh mengemukakan tuntutan bayaran melalui 13 buah Masjid Daerah yang ditetapkan JAIP,” katanya.