Kerajaan negeri komited suburkan pendidikan di Pahang

Kerajaan negeri komited suburkan pendidikan di Pahang

Helmy Abd Rahman

helmy@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Kerajaan Pahang menyalurkan lebih RM750,000 bagi membolehkan sistem pendidikan negeri ini berkembang dan berfungsi dengan baik secara keseluruhannya.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata daripada jumlah itu, hampir RM340,000 disalurkan untuk program Transformasi Pendidikan Pahang bagi 2021/22.

“Ini adalah komitmen kita untuk melihat kejayaan TPP yang membabitkan 10 inisiatif dan mengambil tempoh 10 tahun bermula 2021 hingga 2030 yang antara lain bagi melahirkan generasi lebih baik dari segi adab, lebih sopan, lebih terancang dan menjadi lebih baik serba-serbi.

“Untuk sesi 2021/22, kita peruntukkan sebanyak RM338,105 dan saya beri jaminan akan menambah lagi peruntukan dari semasa ke semasa kerana kita tahu pentingnya pendidikan untuk anak-anak kita, selain supaya warga pendidikan kita tak rasa terkongkong untuk menjayakan progarm ini,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Pelancaran TPP dan Penyampaian Insentif Kecemerlangan STPM 2020 di Auditorium, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin dan Pengarah Pendidikan Pahang, Mohammad Rosli Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, beliau ingin melihat aspek pendidikan di negeri ini memberi penekanan mengenai perpaduan yang membabitkan semua kaum bagi melahirkan generasi lebih berintegrasi dalam memajukan negara pada masa depan.

“Kita nak libatkan semua kaum dalam satu kelas, jangan hanya satu kaum… dalam pembelajaran, setiap perbincangan ada kaum lain dan mungkin boleh ubah, guru mengajar bahasa Melayu yang bukan orang Melayu contohnya,” katanya. 

Tambahnya, selain TPP, Kerajaan Pahang menyalurkan Insentif Kecemerlangan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebanyak hampir RM110,000 dan Bantuan Prihatin Pahang (BPP) untuk operator, pekerja kantin dan dewan makan serta penyedia makanan tambahan bernilai lebih RM303,000.

Sementara itu, Mohammad Rosli dalam ucapannya berkata, sumbangan bagi TPP untuk 2021/22 akan digunakan untuk pelaksanaan gerak kerja, program dan insentif bagi sekolah mencapai kejayaan luar biasa bagi STPM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).