KUANTAN: Seramai 73 lagi bayi yang lahir di Pahang tahun ini diraikan menerusi inisiatif Pahang Pride Kid 2022 peringkat kawasan Parlimen Kuantan.
Penyelaras Parlimen Kuantan, Dato’ Sri Ab Hamid Mohd Nazahar, berkata sehubungan itu, sebanyak 73 pokok ditanam di Taman Tasik Lestari di Jalan Teluk Sisik di sini.
“Setiap pokok ini akan diletakkan nama bayi dan ibu bapa boleh bawa anak mereka berjalan di situ… tak kiralah nak siram pokok ke ambil gambar ke,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan inisiatif Pahang Pride Kid 2022 di Dewan Kediaman Menteri Besar Pahang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inderapura, Dato’ Sri Shafik Fauzan Sharif.
Dalam pada itu, Ab Hamid mengingatkan supaya ibu bapa terbabit bersyukur dengan cahayamata masing-masing dan berusaha menunaikan tanggung jawab menjaga mereka.
“Anak yang diterima adalah amanah Yang Maha Esa dan perlu diberi sepenuh perhatian,” katanya yag juga Ketua UMNO Bahagian Kuantan. – MOHD IMRAN IZZAD