KUANTAN: Kerajaan Pahang meminta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membenarkan pelajar asrama keluar seminggu sekali untuk mengerjakan solat Jumaat di masjid atau surau berhampiran asrama sekolah mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata kerajaan negeri tidak dapat memenuhi permintaan supaya memberikan kebenaran untuk pelajar bersolat Jumaat di surau sekolah kerana ia tidak menepati hukum syarak.
“Pada sidang DUN (Dewan Undangan Negeri) tadi (semalam) Ahli DUN (ADUN) Damak (Zuridan Mohd Daud) mencadangkan kerajaan negeri menimbang untuk membenarkan solat Jumaat di masjid dalam kawasan sekolah di Jerantut.
“Kerajaan negeri memahami dan bersimpati dengan masalah ini dan berharap KPM dapat membenarkan pelajar (asrama) keluar cuma seminggu sekali sahaja bagi menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran dengan sekolah.
“Bagi pihak kerajaan, sukar untuk membenarkan surau di sekolah digunakan untuk solat Jumaat kerana selepas meneliti menerusi Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Jabatan Mufti dan Hal Ehwal Syariah, untuk membenarkan aktiviti solat Jumaat di mana-mana masjid, perlu dipastikan ahli jemaah terdiri daripada pemastautin di kariah berkenaan, sedangkan pelajar asrama ini hanya sementara dan bukan bermastautin… mereka hanya bermukim dan tidak layak memenuhi kuota walaupun mereka wajib tunaikan solat Jumaat.
“Orang yang bermastautin bukan sahaja wajib menunaikan solat jumaat, bahkan termasuk kuota untuk solat Jumaat itu mencukupi tamam, ertinya kalau mereka tidak hadir, menjadi kurang jumlah tamam itu hingga tidak dapat mendirikan solat Jumaat.
“Contohnya, kurang dua orang dan cuma 39 sahaja yang hadir, maka tak bolehlah dirikan solat Jumaat itu kerana kurang ahli tamam dan pemastautin itu terpaksa menanggung beban dosa disebabkan tidak berdirinya solat Jumaat di kawasan itu.
“Berbalik kepada pelajar ini tadi, kita tak dapatlah membenarkan surau-surau sekolah diadakan solat Jumaat kerana mereka (pelajar) tidak bertaraf pemastautin.
“Mudah-mudahan dengan saranan kerajaan negeri ini dapatlah mereka (KPM) lebih rasional dan memahami rungutan ibu bapa, orang ramai, guru dan pelajar sendiri dan membenarkan pelajar solat Jumaat di masjid berhampiran dan pada masa sama mematuhi SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan,” katanya kepada Fikrah Pahang, semalam. – HELMY ABD RAHMAN