Kerajaan negeri perkenal Kad Kesihatan Warga Emas Pahang

Kerajaan negeri perkenal Kad Kesihatan Warga Emas Pahang

ROMPIN: Kerajaan Pahang memperkenalkan Kad Kesihatan Warga Emas Pahang yang turut dikenali Pahang Pride Kasih dengan nilai RM500 yang membolehkan penerima menjalani rawatan am di klinik swasta yang dilantik sebagai panel di seluruh negeri ini.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata bagi menjayakan inisiatif itu, kerajaan negeri membelanjakan sebanyak RM10 juta yang akan memberi manfaat kepada 18,000 warga emas di seluruh Pahang. 

“Selama ini, kerajaan telah menyediakan perkhidmatan perubatan secara hampir percuma di semua hospital dan klinik kerajaan kepada setiap golongan masyarakat terutamanya warga emas.

“Kad kesihatan ini adalah satu alternatif dan pelengkap kepada perkhidmatan sedia ada. Dengan kesesakan klinik kesihatan kerajaan hari ini merawat pesakit Covid-19, diharapkan kad kesihatan ini sedikit sebanyak membantu memudahkan urusan perubatan dan prosedur am yang lebih selesa kepada tuan-tuan dan puan-puan, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama sebelum melancarkan Kad Kesihatan Warga Emas Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, di sini, hari ini.

Hadir sama, barisan Exco kerajaan negeri; Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak dan Pengarah Kesihatan Pahang, Dato’ Dr Nor Azimi Yunus.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, penerima Kad Kesihatan Warga Emas bagi Fasa I yang dilancarkan hari ini membabitkan 9,009 orang penerima Bantuan Orang Tua (BOT) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang. 

“Selebihnya dalah senarai penerima yang memenuhi syarat dan berkelayakan dan akan dimasukkan dalam senarai Fasa Kedua  membabitkan 8,991 orang yang dijangka akan menerima manfaat ini bermula 1 Mac depan,” katanya.

Menurutnya, inisiatif berkenaan dan beberapa inisiatif lain yang diperkenalkan sebelum ini dapat dilaksanakan kerana kerajaan negeri mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.

“Kita juga amat prihatin dengan nasib rakyat yang berdepan cabaran kewangan akibat Covid-19. Buktinya, sepanjang 2020 dan 2021, kita telah belanjakan kira-kira RM62 juta khusus untuk meringankan beban rakyat dalam berdepan pandemik Covid-19,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN