Kerajaan negeri sedia bantu bina semula sekolah pondok Madrasah Al-Imaniyah

Kerajaan negeri sedia bantu bina semula sekolah pondok Madrasah Al-Imaniyah

KUANTAN: Kerajaan negeri akan meneliti keperluan untuk pembinaan bangunan yang lebih selamat dan selesa bagi penempatan pelajar di sekolah pondok Madrasah Al-Imaniyah dekat Kampung Sungai Ular, di sini, yang musnah dalam kebakaran pada 24 Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata perkara itu telah dinyatakan YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Yayasan Pahang.

“Beliau meminta supaya Yayasan Pahang dan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Pahang (MUIP) mengkaji apa yang boleh dibantu bagi pembinaan bangunan dengan nasihat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Sekiranya perkara ini boleh menjadi kenyataan akan memberikan lebih keselesaan kepada kira-kira 100 pelajar di pondok ini,” katanya pada sidang media selepas menyerahkan sumbangan barangan keperluan dan wang tunai kepada sekolah pondok berkenaan, petang tadi.

Katanya, pembinaan struktur bangunan yang serba kekurangan di madrasah terbabit sudah pasti mempunyai banyak kelemahan dan kerajaan negeri akan cuba membantu mengatasi masalah itu kerana tidak mahu kejadian sama berulang.

“Bagaimanapun usaha ini akan mengambil masa kerana ia akan membabitkan banyak perkara dan pihak yang terlibat,” katanya.

Terdahulu, Syed Ibrahim menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM20,000 kepada pihak madrasah berkenaan bagi tujuan membeli buku dan keperluan pembelajaran serta kegunaan aktiviti jangka masa pendek selain turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan.

“Bantuan ini diharapkan dapat meringankan beban mereka selain untuk keselesaan pelajar yang akan menjalani pengajian agama di sini,” katanya. – FATH AHNAF