Kerajaan negeri tak pernah pilih bulu

Kerajaan negeri tak pernah pilih bulu

KUANTAN: “Kerajaan Pahang tidak pernah ‘memilih bulu’ dan sentiasa menjamin pembangunan setara tanpa mengira kawasan pembangkang mahupun kerajaan (negeri).

“Ia selari dengan titah KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika menyempurnakan Istiadat Pembukaan Mesyuarat dewan ini,  pada Isnin lalu, supaya jentera kerajaan negeri sentiasa adil, tidak memilih bulu dan berlandaskan prinsip murni yang dipegang selama ini demi kesejahteraan rakyat Pahang,” kata YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata demikian sebelum menutup ucapan penggulungannya pada Mesyuarat Pertama Penggal ke-5 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini. 

Terdahulu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak, antaranya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Majlis Ugama Islam Pahang (MUIP), badan bukan kerajaan (NGO) dan Kedutaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang sudi memberikan sumbangan untuk membina kediaman baharu kepada mangsa banjir yang mengalami kemusnahan rumah akibat bencana berkenaan.

“Kerajaan negeri menyedari kesusahan dihadapi mangsa banjir yang kehilangan kediaman tempat mereka berteduh. Untuk itu kerajaan negeri mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak yang sudi memberikan sumbangan untuk membina baharu rumah-rumah yang musnah ketika banjir.

“Pada masa sama, rumah rosak yang mana kos pembaikan dianggarkan tidak melebihi RM15,000 sebuah, sedang dibaik pulih oleh agensi-agensi di bawah KPLB dan Kementerian Perumahan dan KPKT yang akan disiapkan penghujung April ini. 

“Untuk rumah-rumah yang akan dibina semula, kerja-kerja pembinaan akan bermula sebaik sahaja peruntukan diperoleh iaitu pada awal April ini bagi dana sumbangan Kedutaan UAE, peruntukan KPLB, KPKT, MUIP dan sumbangan NGO. Pelaksanaan adalah melalui Pejabat Daerah terbabit dengan penyelarasan dibuat oleh Bahagian Perumahan atau LPHP,” katanya menjawab soalan Young Syefura Othman (DAP-Ketari) mengenai bantuan membina rumah rosak akibat banjir.

Menjawab soalan Lee Chean Chung (PKR-Semambu) yang meminta kerajaan negeri membentangkan nilai komersial daripada projek ladang hutan di Pahang, Wan Rosdy berkata, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) bertanggungjawab mengurus dan membangunkan sumber hutan secara berkekalan serta mengoptimumkan sumbangannya kepada pembangunan sosio ekonomi negara. 

“Salah satu aktiviti yang dirancangkan adalah penubuhan projek ladang hutan. Tujuan penubuhan ladang hutan adalah untuk mengurangkan aktiviti pembalakan di hutan asli dalam jangka masa panjang.

“Ia juga ada digariskan dalam Dasar Perhutanan Negara 1978 dan Dasar Perhutanan Malaysia 2021. Pada masa depan, kita berharap kebergantungan kepada hutan asli ini akan sentiasa berkurangan, selepas semua kawasan kelulusan ladang hutan ini siap ditanam sepenuhnya, sekali gus menggalakkan perkembangan industri perkayuan di negeri ini dengan jaminan sumber bahan mentah mencukupi dan konsisten dari ladang hutan,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN