TEMERLOH: “Kita bukan zalim,” demikian reaksi YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berhubung bantahan kira-kira 50 penduduk di Janda Baik terhadap pelaksanaan draf Rancangan Tempatan Daerah (RTD) dan Rancangan Khas Kawasan (RKK) di kawasan itu.
Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri juga membuat kajian lebih mendalam mengenai projek itu selain menafikan dakwaan segelintir penduduk kononnya tanah yang sekian lama diusahakan mereka akan dirampas.
“Dakwaan kerajaan negeri cuba mengambil tanah diusahakan nenek moyang mereka (penduduk) sekian lama tidak benar sama sekali.
“Projek ini perlu mendapat persetujuan pemilik tanah dengan bayaran dan pampasan yang dipersetujui. Kita bukan zalim,” tegasnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kategori Apresiasi untuk Veteran Tentera dan Polis di Dewan Dato’ Zaharuddin Abu Kassim di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri 1 yang juga Ahli Parlimen Kuala Krau, Dato’ Sri Dr Haji Ismail Mohamed Said, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad; Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan, Dato’ Nor Azmi Mat Ludin.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, projek itu masih di peringkat awal dan belum dimuktamadkan lagi.
Tambahnya, projek berkenaan juga perlu dirangka mengikut keperluan di Janda Baik dan pelbagai faktor perlu diambil kira termasuk bencana banjir yang berlaku baru-baru ini.
“Jika keadaan ini merugikan orang ramai, kita tidak akan membuat tindakan sedemikian. Oleh itu kajian yang lebih mendalam perlu dilakukan,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN