KERAJAAN Pahang memberi bantuan RM10,000 kepada Persatuan Sepak Takraw Negeri Pahang (PSNP) dalam memajukan sukan berkenaan di peringkat negeri.
Sumbangan berkenaan disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Johari Hussain, di Kuantan, pada 21 Jun lalu.
Johari berkata, bantuan diberikan diharap dapat membantu persatuan melaksanakan program sukan sepak takraw di semua peringkat.
“Kejayaan penganjuran Liga Sepak Takraw Pahang (LSTP) yang kali pertama diadakan sesuatu yang membanggakan kerana ia dapat menghimpunkan pasukan terbaik di peringkat daerah termasuk SUKMA Pahang.
“Saya menyampaikan pesanan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang berjanji akan terus membantu persatuan dalam mempertingkatkan lagi mutu sukan sepak takraw di Pahang,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden Dua PSNP, Nara @ Nikman Nordin berkata, pihaknya akan terus mengadakan program pembangunan di peringkat daerah dan negeri dengan kerjasama persatuan daerah.
“Sokongan kerajaan negeri terutama Menteri Besar menambahkan lagi semangat persatuan untuk terus memajukan sukan sepak takraw di Pahang,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD