SINGAPURA: Kerajaan Pahang akan menghantar rombongan terdiri daripada beberapa imam dari masjid di negeri ini ke Masjid Ba’alwie di Singapura untuk mempelajari dan mendekati cara pengurusan masjid berkenaan mengimarahkan rumah ibadat itu.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata beliau amat tertarik dengan cara pengurusan Masjid Ba’alwie menyediakan bahan ilmiah di perpustakaan dan muzium menyimpan pelbagai khazanah dunia Islam yang berharga, sekai gus menarik minat orang ramai mengunjunginya.
“Saya lihat tadi bermacam-macam artifak antaranya al-Quran berusia lebih 250 tahun dari China dan negara lain disimpan di sini.
“Kerajaan Pahang akan menghantar beberapa imam ke sini untuk mempelajari dan mendekati serta melihat sendiri bagaimana pengurusan masjid beroperasi,” katanya kepada Fikrah Pahang di sini, hari ini.
YAB Menteri Besar yang kini dalam rangka lawatan ke Singapura, berkata demikian ketika melawat Masjid Ba’alwie di Lewis Rd di sini, hari ini.
Turut mengiringi, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Dibina pada 1952, Masjid Ba’alwie yang terletak di Lewis Rd, mampu memuatkan 400 jemaah pada satu-satu masa untuk solat harian dan Jumaat. – HELMY ABD RAHMAN