Kerajaan Pahang akan kaji dulu kertas cadangan Escape Cameron Highlands sebelum memberi kelulusan

Kerajaan Pahang akan kaji dulu kertas cadangan Escape Cameron Highlands sebelum memberi kelulusan

Kamal Ismail

kabhiismail@fikrahpahang.com.my

Gambar

TEMERLOH: Kerajaan Pahang akan memastikan taman tema Escape Cameron Highlands tidak menjejaskan alam semulajadi seandainya projek pembangunannya diluluskan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata untuk itu, kerajaan negeri akan mengkaji kertas cadangan yang akan dikemukakan pemaju bagi menilai kesan baik buruk sekiranya ia dibangunkan.

“Buat masa ini kita belum menerima sebarang ‘proposal’ rasmi daripada mana-mana pihak yang inginmemajukan taman tema itu.

“Taman tema yang dicadangkan ini bukanlah seperti di Genting Highlands dan ia dibina mengikut alam semulajadi bagi memastikan flora dan fauna di sana, terpelihara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada mangsa bencana Kampung Kapor di Bangunan UMNO Mentakab dekat sini, semalam. 

Akhbar sebelum ini melaporkan Sim Leisure Group akan membangunkan Escape Cameron Highlands iaitu taman tema bertemakan persekitaran ala Eropah di Cameron Highlands, yang dijadual dibuka kepada umum pada 2023.

Taman tema itu akan dibangunankan di kawasan seluas 60 ekar di Cameron Highlands yang menawarkan pengunjung untuk merasai suasana di Eropah. 

Sementara itu, mengulas sumbangan mangsa bencana berkenaan , Mohd Sharkar berkata, Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM300,000 untuk membantu membaiki 30 rumah yang terjejas akibat banjir awal tahun ini.

“Sumbangan disampaikan melalui ketua kampung sebelum disalurkan kepada JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung) untuk tindakan selanjutnya.

“Mengikut nilaiannya, sebuah rumah bernilai RM10,000,” katanya.