Kerajaan Pahang ambil alih projek perumahan PGBF yang terbengkalai

Kerajaan Pahang ambil alih projek perumahan PGBF yang terbengkalai

JERANTUT: Kerajaan Pahang mengambil alih kira-kira sepuluh Projek Perumahan Generasi Baharu FELDA (PGBF) yang terbengkalai di negeri ini, sejak beberapa tahun kebelakangan ini. 

Sehubungan itu, kerajaan negeri juga sudah melantik beberapa kontraktor penyelamat bagi membangunkan semula projek itu dengan kadar segera. 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Keusahawanan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Dato’ Nazri Ngah berkata, kontraktor penyelamat itu diberi tanggungjawab memulihkan semua projek itu dalam tiga atau empat tahun.

“Projek itu diserahkan kepada Kerajaan Pahang menerusi satu persetujuan dalam perbincangan meja bulat antara saya selaku EXCO Hal Ehwal FALDA; YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; Pegawai Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan FELDA.

“Oleh itu, majlis rasmi penyerahan 10 tapak PGBF yang terbengkalai oleh Pengarah Besar FELDA, Dato’  Amiruddin Abdul Satar kepada YAB Menteri Besar, di Wisma Persekutuan Negeri, Kuantan, pada 2 Mac lalu,” katanya. 

Nazri berkata demikian selepas menyampaikan Biasiswa Sekolah Rendah ( BSR) dan Biasiswa Sekolah Menengah ( BSM) peringkat Dewan Undangan Negeri Pulau Tawar kepada 1,640 ibu bapa murid dan pelajar, di Dewan Mat Kilau, di sini, hari ini.

Beliau berkata, antara projek PGBF yang terbengkalai di Pahang ialah di FELDA Sungai Retang, Kota Gelanggi 2, Jengka Sebelas, Jengka 12, Jengka Satu, Bukit Tajau dan Bukit Sagu. 

“Kontraktor penyelamat sudah melakukan pembersihan beberapa tapak projek PGBF seperti di FELDA Sungai Retang, Kota Gelanggi 2,  Jengka 12 dan Jengka Satu. 

“Ketika ini, usaha membangunkan semula projek itu hanya membabitkan lima projek yang bebas daripada kes tuntutan mahkamah oleh kontraktor asal terhadap FELDA,” katanya. 

Nazri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar berkata, lima projek PGBF yang akan dibangunkan semula pada fasa pertama adalah FELDA Sungai Retang, Jengka Satu, Bukit Tajau dan FELDA Jengka 12. 

Menurutnya, difahamkan FELDA sudah membelanjakan kira-kira RM20 juta bagi menyelesaikan masalah lima projek PGBF sebelum diambil alih oleh kontraktor baharu.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan kontraktor yang dipilih melantik konsultan bagi menguruskan permohonan kebenaran merancang dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) daerah masing masing-masing.

Katanya, konsultan yang dilantik juga perlu mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Pahang dan FELDA bagi memansuhkan Akta GSA 1960 di tapak projek kepada tanah kerajaan negeri.

“Tanah yang bebas Akta GSA 1960 akan memudahkan pembeli generasi kedua FELDA menjalankan pelbagai urusan seperti pinjaman bank untuk membeli rumah apabila siap kelak,” katanya. – MUHAMMAD NAJMIE