KUANTAN: Kerajaan Pahang akan mengatur perancangan dan langkah lebih efisyen bagi mengurangkan kesan jika berlaku kejadian bencana banjir pada masa akan datang.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata dalam pada itu, beliau juga sedang melihat beberapa keperluan penting untuk membangunkan kawasan terjejas bersama agensi kerajaan.
“Saya harap perancangan ini dapat dilaksanakan sebaiknya agar memberi kesan berpanjangan, insya-Allah,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Wan Rosdy berkata demikian setelah selesai meneliti ‘post-mortem’ (bedah siasat) 11 daerah di Pahang yang terbabit dengan bencana banjir baru-baru ini.
“Post-mortem ini dibuat secara berasingan untuk saya lebih fokus membincangkan permasalahan di peringkat daerah terbabit,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN