KUANTAN: Kerajaan Pahang membelanjakan sebanyak RM520,000 bagi pembelian peralatan pemulihan kepada 52 Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di negeri ini.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Dato’ Sri Ishak Muhammad, berkata peralatan itu bertujuan untuk meningkatkan potensi pemulihan golongan orang kurang upaya (OKU) dan mengelakkan kecacatan menjadi lebih teruk.
“Kerajaan negeri juga menyedari tanggungjawab besar dipikul penyelia dan petugas PPDK. Justeru, sumbangan ‘one-off’ sebanyak RM250 diberikan kepada 300 penyelia dan petugas PPDK seluruh Pahang dengan kos sebanyak RM75,000.
“Ia bagi mengiktiraf komitmen penyelia dan petugas PPDK serta meningkatkan mutu perkhidmatan kepada OKU,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan teks ucapan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Perasmian Pahang Memperkasa OKU dan pelancaran Pahang Pride OKU, di sini, malam ini.
Menurutnya, program Pahang Memperkasa OKU dan Pahang Pride OKU diwujudkan bagi membantu dan memperkasa golongan tebabit supaya mendapat peluang serta perhatian sebagaimana anggota masyarakat lain.
“Golongan OKU sentiasa mendapat perhatian istimewa daripada kerajaan negeri sejak sekian lama. Golongan ini adalah golongan yang wajib dibantu dan diberi perhatian khas agar mereka tidak merasa terabai atau dipinggirkan.
“Adalah menjadi hasrat kerajaan negeri untuk memastikan kebajikan dan kesihatan golongan OKU di Pahang sentiasa terbela,” katanya. – MUSTAFFA KAMAL