LIPIS: Kerajaan Pahang akan membina sebuah Kompleks Pentadbiran Daerah Kecil Jelai membabitkan kos pembinaan RM12 juta di Jalan Bukit Betong – Kepong, di sini penghujung tahun ini, bagi memudahkan pelbagai urusan penduduk sekitar Jelai.
Kompleks pentadbiran itu membabitkan pembinaan dua blok bangunan yang menempatkan ruang pejabat, kaunter bersepadu, bilik perbincangan, ruang bekerja, ruang menunggu, mesin pengeluaran wang automatik (ATM), kafetaria, bilik cetak, bilik kebal, bilik fail, surau, stor dan tandas tanah seluas 2.528 ekar (1.023 hektar/10,232 meter persegi).
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata kompleks itu juga akan menempatkan pejabat Pahang Barat Plus, Pejabat Agama Islam Daerah, pejabat PAIP daerah dan pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Kos pembinaan kompleks ini adalah berjumlah RM12 juta dan tempoh pembinaan mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan.
“Kompleks pentadbiran ini dijangka beroperasi sepenuhnya pada awal tahun 2025,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, pembinaan kompleks itu bakal memberi manfaat langsung kepada penduduk kawasan Jelai serta masyarakat dari 30 kampung berhampiran termasuk perkampungan Orang Asli, membabitkan lebih 40,000 orang.
“Lazimnya semua urusan bagi masyarakat setempat dan berhampiran dilakukan di setiap Pejabat Daerah dan Tanah antaranya membabitkan urusan pembayaran hasil, hak milik dan pusaka tanah; urusan berkaitan projek pembangunan luar bandar, pembayaran bil air dan elektrik; permohonan bantuan kebajikan serta urusan berkaitan syariah dan agama Islam,” katanya.
Wan Rosdy berkata, Pejabat Daerah Kecil Jelai yang ketika ini beroperasi di tapak sementara di Balai Serbaguna Bukit Betong, berjaya mencatatkan kutipan hasil cukup memberangsangkan.
“Ini kerana penduduk sekitar tidak perlu lagi berkunjung ke Pejabat Daerah dan Tanah Lipis yang terletak di bandar Lipis yang mana jaraknya ialah sejauh 30 kilometer dari pejabat sementara ini atau 40 minit masa perjalanan, untuk membuat urusan berkaitan pembayaran hasil tanah,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN