Kerajaan Pahang cakna sokmo weh

Kerajaan Pahang cakna sokmo weh

Fath Ahnaf

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

KUANTAN: Kerajaan Pahang dan Tourism Malaysia Pahang membelanjakan RM577,500 sejak tahun lalu untuk membantu semua pihak yang terbabit dengan sektor pelancongan di negeri ini. 

Bantuan itu disalurkan kepada semua pemain industri termasuk pemandu pelancong, pengusaha hotel, serta persatuan yang terbbait secara langsung dengan sektor pelancongan. 

Pengurus Besar Tourism Malaysia Pahang, Kamaruddin Ibrahim, berkata seramai 1,714 pemandu pelancong di negeri ini menerima bantuan pandemik COVID-19 sejak tahun lalu. 

“Bantuan itu membabitkan peruntukan RM422,500 dan penerimanya adalah pemandu pelancong biasa, pemandu pelancong alam semula jadi, pemandu bot pelancong Taman Negara dan Pulau Tioman.

“Selain itu, kerajaan memberikan bantuan kepada empat persatuan yang terbabit secara langsung dengan sektor pelancongan di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. 

Jelasnya, sepanjang tahun lalu, seramai 972 pemandu pelancong yang aktif di Pahang menerima bantuan sama membabitkan peruntukkan sebanyak  RM348,300. 

“Untuk tahun ini, kerajaan negeri melalui Tourism Malaysia Pahang memberikan sumbangan kepada Persatuan Hotel Malaysia Negeri Pahang, Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia Pahang, Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia Pahang dan Persatuan Homestay Negeri Pahang, setiap persatuan menerima RM20,000,” katanya. 

Kamaruddin berkata, Tourism Malaysia Pahang juga mengagihkan baucar pelancongan kepada orang ramai yang menggunakan aplikasi Pahang Go sebagai antara inisiatif menghidupkan semula sektor pelancongan domestik di negeri ini.

“Inisiatif berkenaan membabitkan peruntukan berjumlah RM75,000 bagi membantu menyokong semula pemain industri pelancongan yang terkesan sejak tahun lalu,” katanya.