KUANTAN: Kerajaan Pahang menerusi Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sudah membuat kajian dan penelitian mengenai aktiviti solat berjemaah tanpa penjarakan sosial di masjid atau surau di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata hasil kajian sudah diserahkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Pahang dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang untuk dinilai.
“Kerajaan negeri dah buat kajian dan penelitian berhubung soal ini, namun keputusan mengenainya bergantung kepada kelulusan MKN (Pahang) dan JKN Pahang yang berada dalam Jawatankuasa ‘Task-force’ COVID-19 Pahang.
“Seandainya dipersetujui, ia (kertas kajian berkenaan) akan dipersembahkan kepada KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mendapat perkenan baginda,” katanya kepada Fikrah Pahang, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas langkah Kerajaan Persekutuan yang mencadangkan aktiviti solat berjemaah di masjid atau surau dan rumah ibadat bukan Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan sosial.
Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia bagaimanapun tertakluk kepada keputusan Majlis Agama di negeri masing-masing. – HELMY ABD RAHMAN