Kerajaan Pahang edar bukti sebenar banjir puing di Bentong

Kerajaan Pahang edar bukti sebenar banjir puing di Bentong

KUANTAN: Kerajaan Pahang hari ini mengedarkan Buku Kajian Forensik Banjir Puing 2021 Lembangan Bentong iaitu berkaitan kejadian banjir puing yang berlaku di Bentong baru-baru ini kepada semua ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pengedaran buku itu bagi menunjukkan bukti dan fakta yang direkodkan untuk memberi kefahaman kepada setiap ahi dewan terutama yang masih ragu-ragu dengan punca kejadian banjir puing berkenaan.

“Saya melihat dalam sidang dewan kali ini, masih lagi terdapat Ahli Yang Berhormat yang mengaitkan pembalakan sebagai punca banjir di Bentong baru-baru ini.

“Sekali lagi saya ingin tegaskan, ia adalah tidak tepat dan kenyataan itu dibuat tanpa bukti kukuh. Bagi mengukuhkan lagi apa yang telah saya katakan, di atas meja Ahli Yang Berhormat, telah disediakan Buku Kajian Forensik Banjir Puing 2021 Lembangan Bentong, iaitu berkaitan banjir puing yang berlaku di Bentong baru-baru ini,” katanya ketika menggulung perbahasan pada Mesyuarat Pertama Penggal ke-5 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini. 

Menjelaskan kandungan buku berkenaan, Wan Rosdy berkata, hasil semakan mendapati, berlaku kejadian kepala air di Karak yang bermula di Hutan Simpan Lentang akibat hujan lebat yang berterusan selama tiga hari, bermula 16 Disember hingga hari kejadian banjir besar di Bentong pada 18 Disember 2021.

“Ini disokong dengan data taburan hujan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Bentong yang mencatatkan bacaan purata 155mm pada 18 Disember 2021. Kadar hujan 155mm sehari ini dikategorikan sebagai sangat lebat kerana bersamaan dengan kadar ‘sebulan’ turunnya hujan pada hari biasa.

“Semakan melalui udara menggunakan dron mendapati tiada sebarang aktiviti pembalakan sama ada di dalam Hutan Simpan Lentang, Tanah Kerajaan dan Tanah Milik di kedua-dua lokasi. Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) juga mengesahkan tiada sebarang aktiviti pembalakan secara sah maupun pembalakan haram sepertimana yang ditularkan di dalam media sosial. Malah, saya sendiri membuat tinjauan udara melalui helikopter di kawasan kejadian bersama pihak media pada 13 Januari lalu,” katanya.

Tambahnya, dari segi rekod, Hutan Simpan Lentang yang terbabit dengan insiden berkenaan, telah diwartakan sebagai Hutan Tadahan Air sejak 2002 yang mana aktiviti pembalakan adalah tidak dibenarkan sama sekali di dalam kawasan itu. 

“Tambahan daripada itu, seluas 30 hektar kawasan Hutan Simpan Lentang di Sungai Kerau telah dijadikan petak ‘High Conservation Value Forest’ (HCVF) sejak 2012. HCVF adalah kawasan Hutan Perlindungan yang tidak boleh dijalankan sebarang aktiviti pembalakan.

“Berdasarkan bukti forensik mendapati, ratusan runtuhan tanah yang berlaku akibat hujan yang terlampau lebat sehingga mengakibatkan banjir puing yang dibawa arus sungai. Kejadian ini juga membawa bersama runtuhan tanah, batu-batan dan pokok-pokok di sepanjang laluan banjir terbabit.

“Saya harap buku ini diteliti setiap Ahli Yang Berhormat dan berpeganglah kepada fakta dan bukti yang dilaporkan di mana kajiannya dibuat oleh pakar geologi dan hidrologi. Saya juga ucapkan terima kasih kepada JPNP atas inisiatif menghasilkan buku ini,” tegasnya. – HELMY ABD RAHMAN