Kerajaan Pahang hargai kejayaan Janusha

Kerajaan Pahang hargai kejayaan Janusha

KUANTAN: Kerajaan Pahang bersetuju menyumbangkan sebanyak RM20,000 kepada Pegawai Kadet Kanan (PKK) B Janusha Bala Krishnan Muthiah yang muncul sebagai pegawai wanita pertama negara berjaya menamatkan pengajian dan latihan ketenteraan di United States Naval Academy (USNA) di Amerika Syarikat.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata keputusan itu dicapai menerusi Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang semalam.

“Pada Mesyuarat MMK semalam, kerajaan negeru bersetuju memberikan sumbangan sebanyak RM20,000 dan sijil penghargaan kepada PKK Janusha dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Sumbangan ini adalah sebagai penghargaan atas kecemerlangan beliau muncul pegawai wanita pertama negara menamatkan pengajian dan latihan Ketenteraan di USNA,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Janusha, 23, dilahirkan pada 9 April 1999 di Hospital Lipis dan merupakan anak bongsu daripada tiga beradik.

Mendiang bapa beliau, Balakrishnan Muthiah yang berasal dari Melaka, adalah penyelia di Hospital Lipis dan bersara pada 2019, manakala ibunya, S Saraswathy Subramaniam dari Bentong, adalah bekas Ketua Penyelia Jururawat Hospital Lipis sebelum bersara pada 2017.

Dua kakak Janusha iaitu Chandralehkah dan Shamilaa pula berkhidmat sebagai doktor di Hospital Segamat, Johor.

Janusha memulakan pendidikan sekolah rendah dari tahun satu hingga tiga di Sekolah Kebangsaan Paya Pulai, Temerloh dan kemudiannya di Sekolah Kebangsaan Clifford, Kuala Lipis dari tahun empat hingga enam. 

Beliau menyambung pendidikan di peringkat menengah di Sekolah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan dari tingkatan satu hingga lima sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).

“Sememangnya saya amat mengagumi kegigihan Janusha dan juga ahli keluarganya yang lain terutama kedua ibu bapanya yang begitu mengambil berat mengenai masa depan anak-anak sehingga setiap anak-anak mereka memiliki kerjaya hebat.

“Sesungguhnya, kejayaan Janusha ini perlu dijadikan inspirasi dan motivasi kepada seluruh rakyat Pahang dan Malaysia mengenai bagaimana perlunya kita mempunyai keazaman dan kegigihan untuk berjaya,” kata Wan Rosdy. – HELMY ABD RAHMAN

#MajuTerusPahang #ThisisPahang #Pahang1st #janusha #tldm #usna