Kerajaan Pahang hulur RM40,000 bantu pesakit kanser tulang

Kerajaan Pahang hulur RM40,000 bantu pesakit kanser tulang

KUANTAN: “Terima kasih MB kerana bagi sumbangan kepada saya untuk tampung kos rawatan ini. Saya berharap tangan saya akan pulih seperti biasa.” 

Hanya itu yang mampu dilafazkan oleh pesakit kanser tulang, Muhammad Adli Azahar, 29, ketika menerima sumbangan RM40,000 yang disampaikan oleh YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Rosdy Wan Ismail, di rumahnya di Taman Balok Sejahtera, di sini, hari ini.

Muhammad Adli disahkan menghidap kanser tulang atau ‘osteosarcoma’ pada 12 September lalu.

“Saya kini perlu berulang-alik ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan kemoterapi. Selepas empat kali kemoterapi, imbasan MRI akan dilakukan sebelum pembedahan,” katanya.

Walaupun sakit, Muhammad Adli kini masih bekerja di bengkel membaiki motosikal untuk mencari pendapatan bagi menampung kos rawatan, bayaran rumah sewa dan perbelanjaan harian.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri telah menyalurkan sumbangan RM40,000 kepada Muhammad Adli bagi meringankan bebannya dan keluarga.

“Sesungguhnya, saya amat terkejut dan berasa pilu mendengar cerita Muhammad Adli, yang dalam masa beberapa bulan sahaja, bengkak pada bahunya membesar dengan agak cepat dan hampir sama saiz bola sepak.

“Saya berharap agar sumbangan ini sedikit sebanyak membantu kos rawatan pembedahan untuk membuang ketumbuhan selain menggantikan tulang bahu dengan besi.- NUR HANNAH KHADIJAH