Kerajaan Pahang ikut Pusat berkaitan RUU355

Kerajaan Pahang ikut Pusat berkaitan RUU355

KUANTAN: Kerajaan Pahang menyokong penuh Rang Undang-Undang (RUU 355) di peringkat negeri seandainya ia diluluskan di Parlimen.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata kerajaan negeri bagaimanapun perlu menurut ketetapan Kerajaan Persekutuan.

“Sekalipun kerajaan negeri cuba membentangkan RUU ini di Dewan Undangan Negeri (Dun) dan seterusnya mendapat kelulusan, ia tetap tidak boleh dilaksanakan seandainya Kerajaan Persekutuan belum membuat ketetapan.

“Insya-Allah, seandainya mendapat persetujuan Dewan Rakyat, kerajaan negeri pasti berusaha melaksanakannya di Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Dun (Adun) Damak, Zuridan Mohd Daud pada sesi pertanyaan lisan dalam sidang Dun Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini. 

Sementara itu, YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail sempat mencelah dan memberitahu perlaksanaan RUU 355 di peringat negeri memerlukan kelulusan serta persetujuan kedua-dua pihak iaitu Kerajaan Persekutuan dan negeri. – HELMY ABD RAHMAN