Kerajaan Pahang kaji cadangan pelaksanaan diyat

Kerajaan Pahang kaji cadangan pelaksanaan diyat

BENTONG: Kerajaan Pahang sedang mengkaji cadangan pelaksanaan hukuman diyat dalam sistem keadilan di negeri ini. 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata diyat adalah sejenis hukuman yang sehubungan dengan qisas atau hudud, iaitu hukuman jenayah dikenakan kepada penjenayah yang disabitkan dalam perbicaraan.

“Di bawah hukum jenayah tu ada hukum diyat, maknanya kemaafan diberikan kepada pesalah tetapi dikenakan hukuman dengan cara diyat iaitu pembayaran dengan nilaian tertentu.

“Contohnya jenayah bunuh. Orang yang membunuh, hukum sebenarnya adalah bunuh, tetapi ada namanya diyat yang mana ia (hukuman) itu ringan sedikit dengan kemaafan diberikan oleh keluarga mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Fikrah Pahang selepas mewakili YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menyampaikan bantuan kepada masjid-masjid terjejas banjir di daeah ini di Masjid Karak Setia di sini, malam tadi.

Hadir sama, Penyelaras DUN Sabai dan Ketari, Dato’ Sri Mohamad Zaini Salleh dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Dato’ Dr Zulkefli Ali.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, kajian itu masih di peringkat awal dan masih banyak yang perlu diteliti sebelum dapat dibentangkan dan digubal di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang.   

“Kita bersykur kerana kerajaan negeri sudah mendapat perkenan Tuanku (KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) untuk menggubal RUU (Rang Undang-Undang) baharu berkaitan diyat ini.

“Tapi benda ini (diyat) belum nak buat lagi, cuma kita sediakan kertas kerja, bengkelkan, nilai, kaji supaya pejabat agama, majlis agama, pejabat mufti dapat melengkapkan satu ketetapan yang telah digariskan oleh hukum syarak berkaitan dengan diyat ini.

“Kajian juga perlu dilakukan untuk melihat kesinambungan undang-undang di peringkat persekutuan, ama ada boleh atau tidak nak diselaraskan,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN