Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
JERANTUT: Kerajaan Pahang sudah mengenal pasti tapak Rumah Rakyat Pahang (RRP) bernilai RM65,000 yang diberikan secara percuma kepada lapan beradik yang menjadi yatim piatu sekelip mata apabila kedua ibu bapa mereka meninggal dunia angkara COVID-19, baru-baru ini.
Memetik portal Berita Harian hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah berkata, ,rumah itu akan dibina di lot kosong FELDA Kota Gelanggi Dua, di sini, yang dikhaskan untuk generasi kedua FELDA.
Katanya, pembinaan RRP itu juga bersesuaian dengan cadangan Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang mahu ia dibina di kampung asal ibu mereka di FELDA berkenaan.
“Saya sudah berbincang dengan Pengurus FELDA Kota Gelanggi 2 dan bersetuju menyediakan tapak itu untuk dibina RRP yang dibiayai kerajaan negeri.
“Selepas ini kita akan mencari kontraktor untuk membina rumah itu dengan segera bagi membolehkan lapan beradik terbabit tinggal di situ,” katanya selepas melawat tapak dicadangkan pengurus FELDA bersama Penolong Pegawai Daerah dan Tanah Jerantut, Afiq Radzuan.
Sebelum ini, akhbar melaporkan lapan beradik itu menjadi yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapa mereka meninggal dunia akibat COVID-19.
Bapa lapan beradik itu, Benyajeed Bernie, 45, meninggal dunia pada 16 Julai lalu kerana COVID-19, disusuli ibu mereka, Noraini Ibrahim, 43, pada 18 Julai disebabkan jangkitan sama.
Kisah lapan beradik itu tular di media sosial bulan lalu dan mendapat perhatian ramai selepas menjadi yatim-piatu sekelip mata apabila ibu bapa meninggal dunia kerana COVID-19.
Mengulas lanjut, Nazri berkata, kerajaan negeri amat bersimpati dengan nasib lapan beradik ini dengan anak sulung, Nazurah Nabilah Benyajeed baru berusia 19 tahun, manakala adiknya berusia empat hingga 18 tahun.
“Ketika ini lapan beradik itu masih menetap di Rawang, Selangor bersama ibu saudara mereka. Sementara menunggu rumah siap dibina, Kerajaan Pahang turut membiayai kos rumah sewa sementara buat mereka,” katanya.