LIPIS: Keprihatinan Kerajaan Pahang membela nasib rakyat terutama golongan berpendapatan rendah (B40) terbukti lagi apabila melancarkan Skim Tanah Warisan (STW) bagi membolehkan golongan itu memiliki rumah pertama.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata STW adalah program pembangunan perumahan berkonsepkan rancangan tanah kelompok (RTK) yang diubah suai.
“Kerajaan negeri melalui Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 2021, bersetuju mewujudkan STW yang bertujuan mempelbagaikan lagi skim tanah sedia ada supaya boleh memaksimumkan pemilikan tanah untuk rakyat di negeri ini.
“Program ini membabitkan pemberian hak milik tanah lot perumahan seperti RTK dan STR, bezanya ia dilengkapi kemudahan infrastruktur asas antaranya jalan raya, sistem perparitan, bekalan air dan elektrik,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran dan Penyerahan Surat Tawaran STW Kuala Medang serta Penyampaian Suratan Hak Milik Rancangan FELCRA Kuala Medang.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy menjelaskan, tujuan utama skim berkenaan dilaksanakan adalah untuk meringankan beban kewangan peserta bagi memiliki lot tanah dan membina kediaman sendiri.
“Di bawah program Skim ini, lot-lot tapak perumahan terbabit akan ditawarkan pada harga minima bagi setiap lot yang mana kerajaan negeri memberikan subsidi kepada premium tanah dan juga kos pembangunan infra.
“Bagi menyeimbangi taraf sosio-ekonomi penduduk di Pahang, kumpulan sasar skim ini adalah terdiri daripada penduduk setempat dan yang berpendapatan rendah.
“Saya berbesar hati mengumumkan bahawa ‘pilot project’ (projek perintis) bagi pelaksanaan program STW ini adalah di Kuala Medang, Lipis di atas tanah kerajaan seluas 30.425 hektar yang akan memberi manfaat kepada 250 peserta,” katanya.
Tambahnya, keluasan bagi setiap lot tanah kediaman adalah antara 8,000 kaki persegi (743.22 meter persegi) hingga 10,000 kaki persegi (929 meter persegi) dan bayaran premium bagi setiap plot telah ditetapkan sebanyak RM10,000 ringgit sahaja.
“Tambahan pula, bagi memudahkan lagi peserta terpilih, hak milik tanah turut diberi moratorium 10 tahun dan peserta dibenarkan mencagar di mana-mana institusi pinjaman bagi mendapatkan pinjaman untuk membina rumah di atas lot tanah berkenaan.
“Oleh itu, kos pembinaan rumah ditanggung sepenuhnya oleh peserta, yang mana reka bentuk dan luas rumah adalah terpulang kepada peserta mengikut kemampuan kewangan dan kesesuaian lot tapak yang diperoleh. Bagaimanapun, pembinaan rumah perlu mendapat kelulusan oleh pihak berkuasa berkenaan.
“Pun begitu, perlu ditekankan bahawa setiap peserta STW ini perlu membina rumah dalam tempoh lima tahun daripada tarikh mendapat hak milik,” katanya.
Pada masa ini, katanya, permohonan STW boleh dibuat secara manual di Pejabat Daerah dan Tanah berkenaan sementara modul sistem ePerumahan disiapkan.
“Syarat dan kelayakan peserta bagi skim ini juga mudah sahaja iaitu kutamaan kepada penduduk setempat, peserta berpendapatan rendah dan mana-mana pemohon difikirkan layak oleh
Jawatankuasa Pemilihan Skim Tanah Warisan (JKP STW),” jelasnya. – HELMY ABD RAHMAN