Kerajaan Pahang lantik 11 katerer sedia makanan di PKRC dan pusat kuarantin

Kerajaan Pahang lantik 11 katerer sedia makanan di PKRC dan pusat kuarantin

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

KUANTAN: Kerajaan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang melantik sebelas pengendali makanan dan minuman (F&B) untuk empat Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) dan enam pusat kuarantin di negeri ini.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang,  Zulkhairi Zainol Abidin, berkata kemudahan sama turut disediakan di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) untuk keselesaan petugas. 

KUANTAN. Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainol Abidin (tengah) melihat makanan yang disediakan katerer sebelum diberikan ke pusat kuarantin Kolej Universiti Islam Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS).

Menurutnya, setiap pengendali perlu menyediakan makanan tiga kali sehari iaitu sarapan, makan tengah hari dan malam membabitkan menu yang berbeza.

Katanya, dua petugas JKM ditempatkan di setiap PKRC dan pusat kuarantin termasuk PKOB yang bertanggungjawab memantau proses agihan makanan mengikut waktu ditetapkan selain menu makanan disediakan.

KUANTAN. PegawaiJabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang (kanan) melihat makanan yang disediakan katerer sebelum diagihkan indivudu yang berada di pusat kuarantin Kolej Universiti Islam Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS).

“Kita sentiasa berusaha untuk memastikan makanan yang disediakan setiap pengendali F&B dapat memenuhi selera semua pihak tanpa mengira bangsa. Yang penting sekali pemilihan dan menu mendapat khidmat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 

“Untuk memberi lebih keselesaan kepada mereka yang berada di PKRC dan pusat kuarantin, minum petang disediakan,” katanya selepas menunjau agihan makanan di pusat kuarantin Kolej Universiti Islam Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS), di sini. 

Zulkhairi berkata, JKM sentiasa serius membabitkan penyediaan makanan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini dan semua garis panduan disediakan oleh KKM perlu dipatuhi oleh pengusaha penyedia makanan.

“Pihak katerer boleh ditamatkan kontrak jika didapati cuai serta tidak mematuhi syarat,” katanya.