Helmy Abd Rahman dan Husin Ibrahim
helmy@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Kerajaan Pahang meluluskan cadangan Inisiatif Sempadan Hijau Negeri mmebabitkan sempadan negeri ini dengan negeri tetangga iaitu Terengganu, Kelantan, Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata keputusan itu dibuat pada mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri 3 November lalu.
Beliau berkata, keputusan itu seiring dengan titah KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
“Susulan itu, Kerajaan Pahang akan mewartakan tanah kerajaan yang dikenal pasti di kawasan sempadan membabitkan ukuran sepanjang hampir 27 kilometer (km) dan berkeluasan 55.6 hektar, sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK).
“Menerusi pewartaan mengikut Seksyen 7 Akta Perhutanan Negara 1984 ini, Kerajaan Pahang akan menolak ringkas semua permohonan tanah kerajaan untuk dibangunkan di kawasan Inisiatif Sempadan Hijau Negeri, berpandukan 6 (e) atau 31 (e) Kaedah-kaedah Tanah Pahang 1992,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Untuk makluman, katanya, pewartaan HSK terbaru itu adalah tambahan kepada HSK sedia ada yang turut terletak dalam kawasan bersempadan dengan keenam-enam negeri sempadan.
“Bagi Tanah Milik pula, sebarang pembangunan meliputi jajaran 500 meter sempadan negeri, hendaklah dilaksanakan secara lestari berpandukan konsep ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus),” katanya.
Menurutnya, kerajaan negeri juga menetapkan Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) di Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri menyelaraskan syarat-syarat khas dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkaitan, mengenai perkara-perkara diputuskan itu.
“Dengan satu lagi keputusan mesra-alam oleh kerajaan negeri ini, diharapkan, kawasan sempadan Pahang dengan negeri-negeri terbabit akan terus terjamin kelestarian alam sekitarnya, Insya-Allah,” katanya.