Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Kerajaan Pahang bersetuju menambah 104 unit lagi Rumah Rakyat Pahang (RRP) untuk rakyat yang memerlukan, dengan proses pembinaannya bermula bulan depan.
Ini bermakna, sebanyak 206 unit RRP bernilai RM65,000 seunit membabitkan kos keseluruhan sebanyak RM13.39 juta akan dibina sepanjang tahun ini.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri hari ini.
“Tambahan ini ialah di bawah Fasa 3, kepada 102 unit yang diluluskan pada Fasa 2 untuk pelaksanaan dan pembinaan tahun ini juga,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Di bawah program RRP, setiap rumah dibina diberikan secara percuma kepada golongan memerlukan khususnya mereka yang tersenarai dalam daftar e-kasih.
Dilancarkan tahun lalu atas keprihatinan Kerajaan Pahang untuk membantu golongan terbabit, sebanyak 98 unit bernilai RM6.37 juta siap dibina dan diduduki bagi Fasa 1.
Mengikut agihan pada tahun lalu, sebanyak dua unit bagi setiap 42 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu unit untuk 14 kawasan Parlimen di negeri ini.
“Adalah diharapkan, lebih banyak lagi RRP dapat dibina pada masa depan dengan berdasarkan kemampuan kewangan Kerajaan Negeri Pahang, Insya-Allah,” kata Wan Rosdy.