KUANTAN: Kerajaan Pahang amat prihatin terhadap keperluan rakyat terutama daripada golongan yang tidak berkemampuan untuk memiliki tanah bagi tujuan dijadikan tapak rumah.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pada masa sama, tanah itu boleh diusahakan dengan kegiatan atau aktiviti pertanian agar dapat menjana sumber pendapatan.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri sudah mewujudkan Skim Tanah Rakyat (STR) iaitu pembangunan tanah menggunakan konsep dan pendekatan Rancangan Tanah Kelompok (RTK) untuk membantu memenuhi hasrat rakyat memiliki tanah.
“Ia sama ada bagi tujuan dijadikan tapak rumah atau aktiviti pertanian. Kerajaan negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) pada 4 Ogos 2021 juga bersetuju mewujudkan Jawatankuasa Khas Penyelesaian Skim Tanah Rakyat (JKPSTR) yang bertindak khusus mempertimbangkan pemberi milikan tanah secara berperancangan,” katanya.
Wan Rosdy berkata demikian ketika menjawab soalan Datin Samsiah Arshad (BN-Bukit Ibam) yang ingin tahu tindakan kerajaan negeri bagi membolehkan rakyat miskin memiliki tanah pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.
Sejak pelaksanaan STR dan RTK sebelum ini, katanya, sejumlah 109 skim tanah berperancangan bagi tujuan pertanian dan 53 skim tanah berperancangan bagi tujuan bangunan (tapak rumah) diluluskan di antara 2011 dah 2021.
“Ia merangkumi daerah Kuantan, Pekan dan Rompin bagi wilayah timur, wilayah tengah meliputi Maran, Temerloh, Bera dan Jerantut serta wilayah barat yang terdiri dari Bentong, Raub, Lipis dan Cameron Highlands,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN