KUANTAN: Kerajaan Pahang memperuntukkan sekurang-kurangnya RM47 juta bagi menghadapi tengkujuh yang dijangka bermula November depan hingga Mac 2023.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata peruntukan itu merangkumi pembelian aset dan pembinaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kekal di Maran.
Selain itu, katanya, tapak pendaratan helikopter di Lipis yang sudah siap bagi membantu memudahkan urusan bagi penghantaran barang keperluan kepada mangsa banjir.
“Pahang sememangnya sudah bersedia untuk menghadapi Monsun Timur Laut,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan bantuan AS$1,000 kepada pelajar Kolej Yayasan Pahang (KYP) di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Wan Rosdi berkata, setiap tahun kerajaan negeri akan menambah baik kesiapsiagaan menghadapi musim tengkujuh.
Katanya, kerajaan negeri akan berusaha memenuhi permintaan yang dikemukakan oleh Pengerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah.
“Dalam tempoh terdekat ini, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak akan mengadakan taklimat bersama Pengerusi PKOB daerah,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN