KUANTAN: YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menzahirkan ucapan tahniah di atas ikrar dan tekad KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memastikan spesies Harimau Malaya terus hidup dan membiak serta tidak pupus di negeri ini.
Beliau dan rakyat Pahang berbangga di atas keprihatinan, kesungguhan dan iltizam baginda untuk menyelamatkan spesies Harimau Malaya yang menjadi simbol kebanggaan rakyat Malaysia.
“Sesungguhnya, berkat kebijaksanaan pemikiran, keprihatinan dan perkenan baginda, maka ketika ini sudah ditubuhkan sebuah pasukan khas bagi melindungi hidupan liar di negeri ini iaitu Renjer Hutan Pahang atau Unit Peronda Hidupan Liar Pahang.
“Unit ini yang dinaungi baginda sendiri berperanan memantau dan membuat penguatkuasaan ke atas segala kesalahan mengikut Akta Hidupan Liar.
“Malah, kerajaan negeri bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang telah menubuhkan Pusat Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (NTCC) di Kuala Gandah, Lanchang.
“NTCC ditubuhkan untuk memastikan habitat semua spesies harimau di negeri dan negara ini terus dilindungi daripada sebarang kegiatan yang melanggar undang-undang khususnya aktiviti pemburuan dan penerokaan hutan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Bagi melindungi sumber biodiversiti dan memulihara alam sekitar di negeri ini, beliau berkata, kerajaan negeri telah mengorak langkah dengan menubuhkan Perbadanan Taman Negeri Pahang dan Majlis Biodiversiti Negeri Pahang.
Katanya, Perbadanan Taman Negeri Pahang berfungsi sebagai penasihat kepada Pihak Berkuasa Negeri mengenai perkara yang berkaitan dasar umum tentang pemeliharaan, penggunaan, kawalan dan pengurusan serta pembangunan alam sekitar, sumber dan biodiversiti Taman Negeri Pahang.
” Majlis Biodiversiti Negeri Pahang pula berperanan sebagai penasihat kepada Kerajaan Pahang dalam melindungi alam semula jadi dan sumber biodiversiti, mengkaji dasar yang berkaitan dengan bioteknologi serta melindungi harta intelek negeri ini.
“Ia membabitkan aspek flora dan faunanya. Segala inisiatif yang dilakukan ini adalah bagi menjunjung titah baginda agar setiap projek pembangunan di Pahang hendaklah dilaksanakan secara lestari berpandukan konsep Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) seperti mana seruan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Patik dan Kerajaan Pahang akan berusaha sehabis baik bagi memastikan habitat flora dan fauna termasuk spesies Harimau Malaya di negeri ini akan terus dilindungi,” katanya.- MUHAMMAD IZZ ZAHIN