Kerajaan Pahang minta JPNP siasat punca banjir lumpur di Bentong

Kerajaan Pahang minta JPNP siasat punca banjir lumpur di Bentong

PEKAN: Kerajaan negeri sudah meminta Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) melakukan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar banjir lumpur yang berlaku di Sungai Telemong, di Bentong, 19 Disember lalu.

Kejadian banjir lumpur itu menyebabkan lima mangsa terkorban manakala seorang lagi masih hilang. 

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata siasatan itu juga merangkumi penemuan longgokan kayu termasuk bersaiz balak di sepanjang sungai berkenaan, susulan dakwaan pihak tertentu yang mengaitkannya dengan kegiatan penerokaan hutan secara haram di kawasan terbabit. 

“Buat masa ini, ia masih dalam siasatan dan dalam tindakan (siasatan) JPNP, jadi kita tunggu laporan (siasatan) dulu.

“Mengenai dakwaan berlaku pembalakan, kita tidak boleh buat andaian, saya beritahu mereka (JPNP) buat laporan sebaik mungkin dan kita tunggu hasil (siasatan) itu nanti,” katanya kepada media selepas melawat penduduk terjejas banjir ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ubai, di sini, hari ini. 

Dalam kejadian Sabtu lalu, empat mangsa dilaporkan meninggal dunia, dua hilang dan 10 lagi sempat diselamatkan pasukan bomba.

Insiden itu berlaku selepas lima kereta yang terperangkap dihanyutkan arus deras yang melimpah sehingga atas jambatan yang merentasi Sungai Telemong.

Ditanya tempoh diberikan kepada JPNP bagi menjalankan siasatan, Wan Rosdy berkata, ia perlu dilengkapkan seberapa segera yang boleh walaupun kerajaan negeri tidak meletakkan sebarang tempoh. 

“Kita kena faham, kalau nak masuk ke kawasan itu sekarang, susah jugalah dengan (keadaan) cuaca tidak menentu… nyawa dan keselamatan juga perlu kita ambil kira. 

“Tapi ini tidak bermakna (siasatan) ambil masa yang lama, saya tidak meletakkan ‘time frame’ untuk mereka (JPNP) tapi tidaklah terlalu lama (untuk disiapkan), agak-agaklah,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN¬†