Kerajaan Pahang perkenal I-PUSH, talian hayat untuk peniaga kecil

Kerajaan Pahang perkenal I-PUSH, talian hayat untuk peniaga kecil

KUANTAN: Berita baik buat peniaga kecil di negeri ini terutama yang terjejas pendapatan akibat COVID-19 apabila Kerajaan Pahang hari ini mengumumkan Skim Pembiayaan Kewangan Usahawan Mikro Negeri Pahang (I-PUSH).

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata menariknya, skim pembiayaan itu tidak mempunyai kadar faedah dan tempoh pembiayaan tahun pertama diberikan moratarium. 

Katanya, untuk itu kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi membolehkan kira-kira 2,500 pemohon yang terdiri daripada usahawan mikro yang terjejas, mendapat manfaat dan meneruskan perniagaan mereka.   

“I-PUSH bertujuan memastikan mereka yang layak atau masih tiada dalam pangkalan data kerajaan negeri, dapat mengemukakan permohonan masing-masing. 

“Skim ini adalah inisiatif Kerajaan Pahang yang diumumkan dalam Belanjawan Pahang 2022 membabitkan peruntukan sebanyak RM20 juta. Kita nak pastikan usahawan mikro ini dapat meneruskan semula perniagaan mereka yang terjejas disebabkan COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman I-PUSH di Bilik Kunjungan Hormat Menteri Besar di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal FELDA, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Pahang, Dato’ Nazri Ngah.

Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, bagi mengurangkan beban pemohon, pembayaran balik pembiayaan tanpa faedah diperkenalkan dalam skim I-PUSH iaitu lima tahun tempoh pembiayaan termasuk tahun pertama moratorium yang diberikan.

“Jumlah pembiayaan akan disalurkan untuk setiap pemohon yang berjaya adalah antara RM3,000 sehingga RM10,000 mengikut syarat.

“Selain itu, ia tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa Panel Pemilih Skim I-PUSH yang dilantik kerajaan negeri,” jelasnya.

Pendaftaran permohonan I-PUSH akan dibuka mulai 1 April sehingga 30 April ini. – HELMY ABD RAHMAN