Kerajaan Pahang pertingkat langkah lindungi Orang Asli daripada Covid-19

Kerajaan Pahang pertingkat langkah lindungi Orang Asli daripada Covid-19

KUANTAN: Lebih 7,000 penduduk Orang Asli di negeri ini dijangkiti Covid-19 sehingga 9 November lalu, dengan peningkatan ketara dikesan sejak Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Dato’ Sri Norolazali Sulaiman, berkata sebahagian kes akibat jangkitan di tempat kerja dan pergerakan keluar masuk individu berisiko ke perkampungan Orang Asli.  

Sehingga 9 November tahun ini, seramai 7,395 orang penduduk Orang Asli telah dijangkiti COVID-19 di mana peningkatan ketara dikesan sejak bulan Julai berikutan terdedah risiko jangkitan daripada tempat kerja dan pergerakan keluar masuk individu berisiko ke kampung Orang Asli.

“Justeru, aktiviti pemerkasaan komuniti dalam membudayakan norma baharu dan liputan vaksinasi dalam kalangan Orang Asli sentiasa menjadi agenda utama kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanah Rata, Chiong Yoke Kong pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dun Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Mengulas lanjut, Norolazali yang juga Adun Guai berkata, lebih 45,000 atau hampir 90 peratus daripada Orang Asli di Pahang sudah menerima dos lengkap vaksin.

“Seramai 46,538 atau 91.3 peratus pula sudah menerima dos pertama,” katanya. 

Dalam pada itu, beliau memberitahu dewan, seramai 132,260 warga asing di negeri ini sudah menerima vaksin dos pertama dan 121,265 menerima dos lengkap.

“Antara langkah yang kita ambil ialah menyediakan kemudahan vaksinasi termasuk secara ‘walk-in’ ke mana-mana PPV (pusat pemberian vaksin) selain aktiviti jangkau luar tanpa mengira status warganegara.

“Kerajaan negeri juga giat mengadakan promosi dari semasa ke semasa bagi menggalakkan vaksinasi penduduk termasuk golongan warga asing,” jelasnya. – HELMY ABD RAHMAN