Kuantan 7 Februari 2023 : Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukan hampir RM450,000 bagi membantu mangsa banjir. Menurut Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Dato’ Zulkhairi bin Zainol Abidin keperluan yang disediakan ini meliputi kelengkapan asas seperti selimut, tuala, toto, hygiene kit, kain batik dan pelikat, refreshment kit termasuk penyediaan makan minum di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) pada 5 hingga 7 Februari 2023 ini.
Katanya, sebanyak 28 Pusat pemindahan Banjir (PPS) telah dibuka melibatkan 24 PPS di Kuantan dan 4 PPS di Pekan. Sejumlah 1,282 keluarga yang terdiri dari 4,432 mangsa telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Butiran mangsa yang berpindah ke PPS adalah seramai 2,654 lelaki dan perempuan dewasa, 1,573 kanak-kanak lelaki dan perempuan, 205 bayi lelaki dan perempuan, 233 warga emas lelaki dan perempuan dan 78 Orang Kelainan Upaya (OKU) lelaki dan perempuan.
Semalam Jabatan Meteorologi malaysia telah mengeluarkan amaran hujan berterusan yang dijangka berlaku di Pahang (Temerloh, Maran, Bera, Pekan dan Rompin) sehingga Selasa, 7 Februari 2023.
-oleh Kabhi Ismail.