BENTONG: Kerajaan Pahang menyalurkan sumbangan RM200 tunai secara sekali bayar kepada 9,144 individu terdiri daripada penjaja harian, membabitkan peruntukan RM1.83 juta.
YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata sumbangan itu adalah sebahagian daripada Bantuan Prihatin Pahang (BPP) 2022, dengan penerimanya terdiri daripada peniaga pasar malam, pasar tani, pasar lambak dan peniaga kenderaan saji.
Secara keseluruhannya, BPP2022 yang dilancarkan pada April lalu membabitkan peruntukan kira-kira RM30 juta, dengan sasaran hampir 300,000 penerima terdiri daripada empat kluster utama iaitu pelajar, anak muda, golongan B40, umum dan penghargaan.
“Sumber kewangan yang kukuh membolehkan kerajaan negeri membantu dan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat.
“Saya juga sering menyatakan bahawa setiap hasil yang diperoleh akan dipulangkan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk seperti pembangunan dan sumbangan,” katanya.
Wan Rosdy berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penyampaian BPP 2022 Fasa Dua kepada Penjaja Harian di Dewan Majlis Perbandaran Bentong, di sini, semalam.
Selain itu, penerima lain BPP 2022 adalah veteran tentera dan bekas polis, murid tahun satu, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), masyarakat Orang Asli, Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR). – BERNAMA