Kerajaan Pahang sambut baik kenaikan 100 peratus BWI

Kerajaan Pahang sambut baik kenaikan 100 peratus BWI

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Kerajaan Pahang menyambut baik keputusan Kerajaan Persekutuan menaikkan kadar Bantuan Wang Ihsan (BWI) daripada RM500 kepada RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah terbabit bencana.

YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata keputusan itu sudah tentu melegakan rakyat Pahang di kawasan rendah yang sering terbabit banjir semasa Monsun Timur Laut pada akhir tahun.

“Kenaikan 100 peratus ini menandakan keprihatinan tinggi Kerajaan Persekutuan pimpinan YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

“Dengan kenaikan ini dan bantuan kerajaan negeri, tentu dapat meringankan lagi beban ditanggung rakyat yang terkesan dengan bencana berkenaan,” katanya ketika dihubungi melalui Whatsapp, hari ini. 

Memetik portal BH hari ini, kerajaan bersetuju menaikkan kadar BWI daripada RM500 kepada RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah yang terjejas ketika Monsun Timur Laut atau bencana lain yang diisytiharkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP).

Ismail Sabri dalam satu kenyataan berkata, inisiatif BWI itu dijangka dapat meringankan beban lebih 39,100 ketua isi rumah membabitkan peruntukan lebih RM39.5 juta daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara.

“Mesyuarat JPBP yang dipengerusikan saya pada 13 September lalu, bersetuju menaikkan kadar BWI daripada RM500 kepada RM1,000 bagi setiap ketua isi rumah yang terjejas ketika Monsun Timur Laut atau yang terkesan dengan lain-lain bencana yang diisytiharkan oleh JPBP.

“Keputusan menaikkan kadar bantuan ini, membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap mangsa bencana ditambah pula dengan impak ekonomi rakyat akibat pandemik COVID-19,” katanya.