KUANTAN: Kerajaan Pahang agak kecewa apabila masih terdapat kejadian buli mmebabitkan pelajar sekolah di negeri ini.
Ia susulan kejadian berlaku di sebuah sekolah di Muadzam Shah, Rompin apabila empat pelajar berumur 14 tahun dikurung di dalam bilik sebelum dipukul, ditumbuk, disepak dan dirotan oleh sekumpulan pelajar tingkatan empat dan lima sekolah berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata pihaknya juga kecewa berikutan kegagalan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membendung perkara itu daripada berlaku.
“Kita sedih dengan apa yang terjadi di sekolah itu dan ia tidak seharusnya berlaku.
“Kita juga bersedia membantu KPM sekiranya mereka masih gagal mengatasi masalah seperti ini,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Dipercayai, kejadian berkenaan berlaku pada Jumaat minggu lalu iaitu tidak sampai sehari kes buli di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Perak tersebar.
Semua mangsa berumur 14 tahun itu didakwa dikurung di dalam bilik sebelum dipukul, ditumbuk, disepak dan dirotan oleh sekumpulan pelajar tingkatan empat dan lima.
Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, pihaknya berharap KPM mengambil tindakan sewajarnya ke atas yang disyaki dan pada masa sama mencari jalan untuk membendung kes buli di sekolah daripada berulang. – HELMY ABD RAHMA