MARAN: Kejayaan Sekolah Kebangsaan (SK) Kempadang yang disenarai pendek 10 teratas Anugerah Sekolah Terbaik Dunia mendapat perhatian kerajaan negeri yang akan membantu sekolah terbabit.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kerajaan negeri sedia membantu pihak sekolah terbabit dalam usaha mereka memantapkan lagi inovasi yang telah dilaksanakan.
“Kerajaan negeri akan membuat pertemuan dengan pihak sekolah terbabit bagi mengenal pasti bantuan yang diperlukan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Sambutan Hari Guru 2022 Peringkat Negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah Marah, di sini, hari ini.
Katanya, kejayaan sekolah terbabit sudah tentu membanggakan kerajaan negeri kerana mengharumkan nama Pahang di persada antarabangsa.
SK Kempadang dan SMK Kampung Jawa, Klang, Selangor, adalah antara dua sekolah Amanah Malaysia yang disenarai pendek 10 teratas Anugerah Sekolah Terbaik Dunia yang diumumkan T4 Education, minggu lalu.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri sentiasa komited untuk memperkasakan sektor pendidikan negeri.
“Sehingga ini, kerajaan negeri melalui Yayasan Pahang membelanjakan RM1.34 bilion yang memberikan manfaat kepada 1.7 juta anak negeri dalam pelbagai peringkat pendidikan.
“Pada tahun ini, kerajaan negeri menerusi Yayasan Pahang juga memperuntukkan RM91.4 juta ringgit untuk tabung pendidikan bagi manfaat 255,951 pelajar yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur, bangsa dan latar belakang,” katanya. – FATH AHNAF