Kerajaan Pahang sekali lagi penuhi permintaan dan keperluan rakyat

Kerajaan Pahang sekali lagi penuhi permintaan dan keperluan rakyat

LIPIS: Kerajaan Pahang akan merealisasikan hasrat penduduk Kampung Jerangsang dan Kampung Budu di Benta, di sini, untuk melihat pembangunan masjid di kedua-dua kampung berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata kerajaan negeri juga bersetuju untuk menambah kawasan Tanah Perkuburan Islam Kampung Budu yang kini hanya tinggal dua lot kosong sahaja.

“Pagi tadi daya bersama sahabat, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani dan Bioteknologi Pahang merangkap Adun (Ahli Dewan Undangan Negeri) Benta , Dato’ Sri Ir Mohd Soffi Abdul Razak; Pegawai Daerah (DO) Lipis, Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim, Pengarah Jaip (Jabatan Agama Islam Pahang), Dato’  Zulkefli Ali dan beberapa rakan lain sempat berkunjung ke Benta bagi memenuhi permintaan penduduk berkaitan soal tapak Masjid Kampung Jerangsang, tapak Masjid Kampung Budu dan Tanah Perkuburan Islam Kampung Budu.

“Tapak Masjid Kampung Jerangsang ini perlu diselesaikan dengan teliti kerana mempunyai dua tapak berbeza iaitu satu di atas bukit dan satu lagi di simpang Kampung Jerangsang, tapi perlu ambil alih kawasan itu kerana ia tanah milik orang. Alhamdulillah, DO serta pihak Jaip sudah bersetuju menyelesaikan perkara ini,” katanya di Facebook, hari ini.

Menurutnya, Masjid Kampung Budu pula akan dibina untuk kegunaan 700 jemaah.

“Tapaknya sudah ada, cuma fulus (duit) sahaja kena cari iaitu dalam anggaran RM7 juta ke RM8 juta, baru boleh dimulakan pembinaannya. 

“Akhir sekali berkaitan Tanah Perkuburan Islam Kampung Budu yang hanya tinggal dua lot sahaja dan kita dah ada penyelesaiannya iaitu wujudkan tapak baharu, namun perlu proses pengambilalihan tanah juga.

“Alhamdulillah, DO bersetuju juga membantu bagi menyelesaikan perkara ini. Semoga dipermudahkan Allah SWT,” katanya. – ZULKEPLI OSMAN