Kuantan 30 Mei 2023- Kerajaan Negeri Pahang simpati dengan nasib yang menimpa seorang kanak-kanak dari Permatang Badak, Kuantan, Muhammad Athif Fahri Mohd Farhan yang menghidap penyakit jarang jumpa iaitu Spinal Muscular Atrhopy (SMA) Type 1.
Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dalam kenyataan di Facebook rasminya berkata, Athif yang kini berusia 15 bulan memerlukan dana bagi membeli ubat Genetik Zolgensma yang berharga AS$2.1 juta (RM9.42 juta) yang dipercayai mampu menyembuhkan penyakit terbabit.
Katanya lagi, Kerajaan Negeri Pahang telah bersetuju untuk memberi sumbangan berjumlah RM50,000 kepada Athif bagi menambah dana yang diperlukannya.
Beliau juga berharap lebih banyak lagi pihak seperti syarikat-syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang tampil bagi membantu Athif untuk mendapatkan ubat tersebut.
“Saya berdoa semoga Allah SWT memberi kekuatan kepada Athif serta mempermudahkan segala urusan keluarganya atas dugaan yang dihadapi oleh mereka ketika ini”
Oleh: Kabhi Ismail