Kerajaan Pahang sumbang jam informasi digital untuk 10 masjid di negeri ini

Kerajaan Pahang sumbang jam informasi digital untuk 10 masjid di negeri ini

KUANTAN: Kerajaan Pahang memperuntukkan hampir RM50,000 untuk menyediakan jam informasi digital di 10 masjid di seluruh negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata pemasangan jam itu adalah bagi siri kedua di masjid yang dicadangkan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip).

“Masjid terbabit adalah Masjid Bukit Keledang, Bera; Masjid Assyakirin Rumpun Makmur, Masjid Kampung Kerai dan Masjid Kampung Dato’ Syariff Ahmad di Temerloh, Masjid Kampung Baru, Bentong; Masjid Kampung Budu di Benta, Lipis; Masjid Kampung Keledek dan Masjid Kampung Gua di Kuala Lipis; Masjid Kampung Guai, Bera serta Masjid Kampung Janglau, Rompin.

“Pemasangan dimulakan di Masjid Kampung Gua Lipis dan Kg Dato Sarif Ahmad Kuala Krau dan masjid-masjid lain akan disusuli seterusnya,” katanya, hari ini.

Jam informasi digital adalah gabungan antara jam solat TV dan audio visual dengan kelengkapan dan perisian ‘digital signage’ yang mempunyai kelebihan untuk membantu membangunkan kemudahan di dalam masjid dan pusat Islam secara informasi dan interaktif digital, selaras dengan perkembangan teknologi multimedia masa kini.

Berfungsi sebagai agen penyampaian digital bagi setiap informasi kegiatan di masjid mahupun kampung atau taman perumahan, jam informasi digital mampu menjadi daya penarik sejajar dengan perkembangan dan tuntutan semasa serta diharapkan dapat meningkatkan jumlah kehadiran masyarakat ke masjid.

Menurut Syed Ibrahim lagi, penyataan waktu jam berkenaan adalah bersumberkan Jabatan Kemajua Islam Malaysia (Jakim) menerusi portal www.e-solat.gov.my, manakala pengemaskinian waktu solat boleh dilakukan secara dalam atau luar talian dengan mudah.

“Data waktu solat adalah untuk sepanjang tahun dengan perkongsian data terkini dan semasa berdasarkan data atas talian atau perolehan edaran semasa.

“Jam ini juga mampu memaparkan data penting berkaitan kampung atau taman perumahan, daerah, negeri, negara dan antarabangsa,” katanya.

Tambahnya, antara ciri lain termasuk mampu meyampaikan maklumat berkaitan aktiviti, jadual kuliah, tugasan pemakluman, hebahan, paparan nasihat (ayat al-Quran dan hadis) dan mempunyai paparan interaktif unik.

“Terdapat 10 masjid kariah terpilih telah menerima jam informasi digital sumbangan Kerajaan Pahang pada siri pertama tahun 2021, berpandukan kepada keperluan serta produktif aktiviti pengimarahan masjid yang dilaksanakan oleh pihak pengurusan masjid terbabit,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN